Yang Berhormat Menteri Pelancongan Dan
Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz telah mengadakan
lawatan kerja rasmi ke Negeri Sarawak pada 28 April hingga 06 Mei 2016. Antara
tempat yang beliau lawati ialah Kampung Lintang, Jaie, Sadong Jaya, Lundu, Bau
dan Kampung Perintah Masjid, Gedong, Simunjan.
Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia Cawangan Sarawak telah mengadakan 2 program makmal pengeluaran produk
kraf semasa lawatan kerja rasmi menteri berlangsung iaitu Makmal Pengeluaran
Produk Kraf Mata dan Sarung Parang pada 25 – 27 April 2016 di Kampung Lintang,
Jaie, Sadong Jaya dan Makmal Pengeluaran Produk Kraf Kayu Belian pada 29 April
– 1 Mei 2016 di Lundu, Bau dengan bilangan penyertaan peserta seramai 10 orang
setiap program.
Secara tidak langsung menjemput beliau untuk
menyempurnakan Majlis Penutupan Makmal Pengeluaran Produk Kraf Mata dan Sarung
Parang pada 28 April 2016 (Khamis) di Dewan Serbaguna Kampung Lintang Jaie
serta Makmal Pengeluaran Produk Kraf Kayu Belian pada 2 Mei 2016 (Isnin) di
Dewan Sri Pakma, SMK Lundu. Turut hadir bersama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia, Puan Hajah Zuraida binti Mokhtar dan Pengarah Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Encik Azran bin Arip.
Objektif makmal tersebut diadakan adalah
untuk meningkatkan kemahiran usahawan
dalam menghasilkan produk yang lebih berkualiti melalui pendedahan kepada
teknik kemasan, mempelbagaikan kemasiapan produk bagi memberi pilihan kepada
pembeli serta mempertingkatkan kualiti produk yang dihasilkan dan dapat
mengaplikasikan teknik ini dalam pengeluaran produk mereka.
Selepas itu, beliau
dan ahli rombongan lain telah membuat lawatan ke Bengkel Permata Songket di Kampung
Perintah Masjid, Gedong, Simunjan pada 5 Mei 2016 (Khamis) untuk melihat
pembuatan serta hasil Songket Sarawak yang telah siap secara dekat dan bengkel
songket tersebut dibawah seliaan pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Sarawak.
Antara beberapa coretan semasa lawatan di Kampung
Lintang, Jaie, Sadong Jaya
Antara beberapa coretan semasa lawatan di Lundu, Bau
Antara beberapa coretan semasa lawatan di Kampung Perintah Masjid, Gedong, Simunjan