Friday, June 6, 2014

PROMOSI KRAF MALAYSIA 2014 - MIRI HANDICRAFT CENTRE


Miri, Sarawak – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri dan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB), Jabatan Ketua Menteri telah mengadakan Promosi Kraf Malaysia 2014 Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Miri Handicraft Centre, Miri, Sarawak bermula pada 16 hingga 25 Mei 2014 dengan penyertaan usahawan seramai 86 usahawan dari Sarawak, Kelantan, Selangor dan Melaka bersempena dengan acara tahunan sambutan Hari Bandaraya Miri pada 20 Mei 2014.

Pelbagai aktiviti yang dirancang telah diadakan sepanjang 10 hari di Miri Handicraft Centre
Untuk makluman anda semua, bulan Mei merupakan bulan sambutan ulang tahun Bandaraya Miri yang ke 9 dan sempena sambutan tersebut, beberapa aktiviti dan acara telah dirancang oleh pihak Majlis Bandaraya Miri bagi memeriahkan sambutan. Bulan Mei juga merupakan bulan untuk masyarakat Iban membuat persiapan dan membeli-belah untuk perayaan Gawai. Untuk makluman, masyarakat Iban merupakan masyarakat kedua terbesar di Miri. Majlis Bandaraya Miri juga telah mempromosikan sambutan tersebut di Sabah dan Brunei.

Aktiviti pendidikan kraf dan interaktif kraf yang diadakan sempena promosi ini
Bertemakan “Beli Kraf Malaysia” ,kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat Malaysia dalam memakai dan menggunakan produk kraf buatan tempatan sebagai satu gaya hidup dan bagi menyemarakkan kembali cintakan seni warisan kraf tempatan di kalangan generasi muda.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) & Menteri Muda Perancangan Sumber pada 19 Mei 2014 (Isnin), jam 3.00 petang bertempat di Dewan Miri Handicraft Centre, Miri
Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan lagi promosi ini seperti pelbagai jualan kraf seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf serta jualan makanan dibawah kelola Unit Pembangunan Usahawan Sarawak (UPUB) Jabatan Ketua Menteri. Selain itu, demonstrasi kraf juga diadakan dalam promosi ini bagi melihat sendiri pembuatan kraf dilakukan secara terus kepada pengunjung yang mengunjungi promosi ini seperti pembuatan kraf kaca (stainless steel) dari Kuching, pembuatan kraf songkok dari Kuching dan pembuatan tikar bemban dari Lawas.
 
Lawatan rasmi ke tapak jualan promosi oleh Yang Berhormat Datuk Haji Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) & Menteri Muda Perancangan Sumber

Tidak lupa kepada aktiviti pendidikan kraf juga diadakan untuk memberi pendedahan dan mengetahui bagaimana untuk menghasilkan kraf secara terus menerusi aktiviti ini sempena Promosi Kraf Malaysia 2014 seperti mencanting dan mewarna batik, menganyam buluh serta sulaman manik.

Pelbagai produk kraf yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan kraf tempatan khususnya dari negeri Sarawak
Persembahan kebudayaan juga diadakan di sebelah malam bagi menghiburkan para pengunjung yang hadir ke promosi ini dan menerusi aktiviti ini kita juga dapat menyaksi dan mengenali lebih dekat seni warisan kebudayaan dari Miri ini amnya. Persembahan kebudayaan ini bermula jam 8.30 malam sepanjang promosi ini berlangsung.

Penglibatan bersama oleh usahawan-usahawan makanan dan lain-lain yang dikelola oleh Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri
Aktiviti pendidikan kraf yang dijalankan mendapat perhatian dari sekolah, badan-badan NGO serta pengunjung yang hadir sempena promosi ini
Aktiviti persembahan kebudayaan di sebelah malam memberi kemeriahan serta menarik perhatian pengunjung yang hadir